Tingkah laku dan ekologi Segan perang (burung)

Diet dan pemakanan

Tengkorak segan perang

Segan perang adalah karnivor[19] dan dianggap sebagai antara burung kawalan perosak yang paling berkesan di Australia, kerana dietnya terdiri daripada sebahagian besarnya spesies yang dianggap sebagai vermin atau perosak di rumah, ladang, dan kebun.[6] Dietnya terdiri daripada serangga nokturnal yang besar, seperti rama-rama, serta labah-labah, cacing, lintah bulan, dan siput[12] tetapi juga termasuk pelbagai pepijat, kumbang, tebuan, semut, lipan, gonggok, dan kala jengking.[6] Sebilangan besar invertebrata dimakan untuk membentuk biojisim yang mencukupi.[6] Mamalia kecil, reptilia, katak, dan burung juga dimakan.[18]

Pada waktu siang, segan perang yang sihat umumnya tidak giat mencari makanan, walaupun ia mungkin duduk dengan mulut terbuka, menutup mulutnya apabila serangga masuk.[15] Apabila senja semakin hampir, ia mula giat mencari makanan. Segan perang memakan melalui kaedah menerkam dari pokok atau tenggeran lain yang tinggi untuk menangkap serangga besar atau vertebrata kecil dari tanah,[7] menggunakan paruhnya dengan sangat tepat. Beberapa mangsa yang lebih kecil, seperti rama-rama, boleh ditangkap dalam penerbangan.[18] Penerbangan peramuan terdiri daripada penerbangan pendek, meragut ke kawasan dedaunan, dahan-dahan, atau ke udara.[6]

Segan perang tidak memakan mangsa yang dikumpul di atas tanah atau terbang di tempat kejadian melainkan ia sangat kecil.[6] Mangsa yang ditangkap dipegang di hujung paruh dan dibawa ke dahan berdekatan, di mana ia kemudian dimakan. Serangga biasanya dihancurkan di sisi paruh sebelum ditelan, dan mangsa yang lebih besar seperti geruk atau tikus biasanya dibunuh sebelum dimakan dengan kaedah pukulan pada dahan dengan kuat.[6]

Ikatan dan pembiakan

Anak segan perang 5 hari selepas menetas, Melbourne Segan perang dengan dua anaknya berumur 32 hari, Melbourne Sepasang segan perang dengan dua anak matang, akhir Disember, Melbourne.

Segan perang mempunyai amalan berpasangan seumur hidup, dan setelah berpasang, pasangan biasanya tinggal di wilayah yang sama selama sedekad atau lebih.[6] Mewujudkan dan mengekalkan hubungan fizikal adalah sebahagian daripada ikatan sepanjang hayatnya. Semasa musim pembiakan, pasangan bertengger rapat di dahan yang sama, selalunya dengan badannya bersentuhan. Jantan melakukan dandanan dengan mengusap lembut buluan betina menggunakan paruhnya dalam acara yang boleh bertahan selama 10 minit atau lebih.[6]

Musim pembiakan segan perang adalah dari Ogos hingga Disember, tetapi individu di kawasan gersang diketahui membiak sebagai tindakbalas kepada hujan lebat.[18] Jantan dan betina sama-sama bergotong-royong membina sarang dengan mengumpul ranting dan mulut penuh daun dan menjatuhkannya ke kedudukan sepatutnya.[6] Sarang biasanya diletakkan pada dahan pokok yang melintang dan bercabang dan boleh mencapai sehingga diameter 30 sm.[17] Batang longgar dilonggokkan bersama, dan sampah daun serta batang rumput diletakkan untuk melembutkan bahagian tengah. Sarangnya sangat rapuh dan mudah hancur.[6]

Saiz sangkak segan perang ialah satu hingga tiga biji telur.[7] Kedua-dua jantina berkongsi pengeraman telur pada waktu malam, manakala pada siang hari, jantan mengeram telur.[20] Sepanjang tempoh pengeraman, sarangnya jarang ditinggalkan tanpa pengawasan. Salah satu daripada pasangannya bertengger di dahan berdekatan dan menyediakan makanan untuk pasangan yang sedang mengeram.[6] Setelah menetas, kedua-dua induk bekerjasama dalam membekalkan makanan kepada anak-anaknya.[17] Tempoh pembolehterbangan segan perang ialah 25–35 hari, di mana ia mencapai separuh berat dewasanya.[20]

Vokalisasi

Segan perang mempunyai pelbagai vokalisasi yang boleh memberi isyarat maklumat tentang jantina, wilayah, makanan, atau pemangsa. Mereka biasanya menggunakan bunyi amplitud rendah dan kekerapan rendah untuk berkomunikasi, walaupun beberapa jeritan amarannya boleh didengari sejauh batu.[6] Anaknya mempunyai beberapa seruan unik yang menyatakan kesusahan, kelaparan, dan ketakutan. Juvenil mengekalkan seruan-seruan tersebut sambil membangunkan seruan yang kuat untuk meminta. Anak, juvana, dan dewasa segan perang semuanya menggunakan seruan gangguan amplitud rendah untuk ahli keluarga.[6] Apabila diganggu semasa rehat, ia boleh mengeluarkan bunyi amaran lembut yang kedengaran seperti lebah, dan apabila diancam, ia boleh mengeluarkan bunyi mendesis yang kuat dan menghasilkan bunyi klak-klak dengan paruhnya.[21]

Pada waktu malam, segan perang mengeluarkan dengusan "um-um-um" yang mendalam dan berterusan[21] pada kekerapan kira-kira 8 seruan dalam masa 5 saat.[22] Dengusan yang berterusan sering diulang beberapa kali sepanjang malam. Ia juga membuat seruan "hu-hu-hu" yang lembut dan bernafas pada waktu malam dengan keamatan yang lebih rendah, tetapi pada kekerapan yang sama.[6] Sebelum dan semasa musim pembiakan, jantan dan betina melakukan duet yang terdiri daripada urutan seruan yang samada silih berganti antara pasangan atau dilakukan serentak.[6] Segan perang juga mengeluarkan bunyi gendang yang tersendiri semasa musim pembiakan.[22]

Termoregulasi

Sepasang segan perang di Taman Botani Brisbane

Julat taburan luas segan perang termasuklah kawasan di benua Australia di mana suhu malam musim sejuk kerap menghampiri atau menjadi lebih sejuk daripada 0 °C dan musim panas yang panas boleh mecapai suhu yang melampau melebihi 40 °C.[23] Suhu tinggi pada musim panas dan suhu rendah pada musim sejuk ialah cabaran termoregulasi untuk segan perang yang bertengger sepanjang hari di tempat terbuka.

Perbezaan ketara dalam penghalaan segan perang pada dahan telah diperhatikan semasa musim sejuk dan musim panas.[6] Semasa musim panas apabila keamatan cahaya berada pada kekuatan maksimum, ia cenderung memilih kedudukan pada cabang yang tidak mempunyai pendedahan sepanjang hari kepada cahaya matahari. Ujian fisiologi telah menunjukkan bahawa ia mampu meningkatkan kadar pernafasannya tiga kali ganda tanpa perlu membuka paruhnya.[6] Walau bagaimanapun, apabila suhu badannya meningkat sebanyak 4-5 °C, ia mula tercungap-cungap.[24] Apabila menghadapi tekanan haba yang lebih lanjut, segan perang akan membesarkan saluran darahnya di dalam mulut untuk meningkatkan aliran darah ke kawasan bukal dan menghasilkan lendir yang membantu menyejukkan udara semasa ia disedut, dan seterusnya menyejukkan badan.[25]

Semasa musim sejuk, segan perang memilih kedudukan menghala utara pada dahan yang lebih terdedah kepada cahaya matahari untuk meningkatkan haba badan.[6] Pasangan yang bertengger dan berpelukan untuk berkongsi kehangatan badan juga lazim semasa musim sejuk.[23] Pada waktu siang, segan perang kadangkala hinggap di atas tanah untuk berjemur, kekal tidak bergerak sehingga 5 minit. Pada masa ini, ia membuka paruhnya lebar-lebar, menutup matanya, dan mengalihkan kepalanya ke tepi untuk membolehkan sinaran matahari menembusi ke bawah lapisan bulu tebal.[6]

Torpor

Semasa musim sejuk, bekalan makanan berkurangan secara mendadak dan simpanan lemak badan sebelum musim sejuk hanya boleh menyediakan bekalan tenaga yang terhad.[26] Segan perang tidak dapat bertahan pada musim sejuk tanpa menghabiskan banyak hari dan malamnya dalam torpor.[27] Torpor menghasilkan penjimatan tenaga dengan memperlahankan kadar jantung dan metabolisme dengan ketara, yang menurunkan suhu badan.[26] Torpor berbeza daripada hibernasi kerana ia hanya bertahan untuk jangka masa yang agak singkat, biasanya beberapa jam. Kelesuan cetek berlangsung selama beberapa jam dan merupakan kejadian harian biasa pada musim sejuk. Torpor subuh lebih pendek dan pengurangan suhu mungkin sekecil 0.5 hingga 1.5 °C, manakala torpor malam berlangsung beberapa jam dan boleh mengurangkan suhu badan sehingga 10 °C.[6]

Rujukan

WikiPedia: Segan perang (burung) http://billabongsanctuary.com.au/native-animals/bi... http://www.reptilepark.com.au/animalprofile.asp?id... http://e-publications.une.edu.au/1959.11/232 http://www.parks.tas.gov.au/indeX.aspX?base=24031 http://www.perthzoo.wa.gov.au/animals-plants/austr... http://australianmuseum.net.au/tawny-frogmouth http://backyardbuddies.net.au/birds/insect-eaters/... http://ibc.lynxeds.com/species/tawny-frogmouth-pod... http://www.owlpages.com/articles.php?section=Other... //pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/11731971